Kerjaya Roslan Madun

Roslan memulakan kerjayanya dalam bidang muzik dengan menyelidik dan mempopularkan lagu rakyat. Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1982 dan memperjuangkan lagu-lagu rakyat, dengan mengadakan persembahan dalam majlis sastera dan majlis rasmi kerajaan di seluruh negara.[4]

Lagu "Lemak Manis" nyanyiannya digunakan di sekolah-sekolah dan kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Lagu ini juga sering dinyanyikan di majlis keramaian dalam berbagai bentuk, seperti koir dan nyanyian berkumpulan. Lagu "Seloka Pak Kaduk" nyanyian beliau pula menduduki carta Hit THR Gegar selama hampir setahun, iaitu pada tahun 2009.[4]

Pada tahun 2000, Roslan pulang ke Temerloh dan menubuhkan Anggun Performing Arts, yang telah menjalankan kegiatan kecil dan besar setiap bulan termasuk bengkel-bengkel sastera, teater dan lain-lain. Beliau juga aktif memberi bimbingan lagu rakyat dan puisi tradisional di sekolah, maktab dan universiti dan turut diundang menjadi juri dalam pertandingan kesenian tradisional.[4]

Penglibatan beliau dalam bidang sastera melayakkan Roslan menerima Anugerah Sastera Utusan/ExxoMobil bagi kategori puisi pada tahun 2006. Beliau terlibat dalam industri perfileman pada tahun 1986, dengan menggalas tugasnya sebagai pengarah seni untuk filem Riang Tirana, sejak itu beliau terus menulis skrip, berlakon, mengarah drama dan teater.[4]